“Industri 4.0 mengubah cara kita bekerja dan hidup. Perubahan ini dipacu tiga domain teknologi utama iaitu fizikal, digital dan biologikal yang
merentasi sembilan tonggak Industri
4.0, merangkumi simulasi dan realiti maya,
integrasi sistem menegak dan melintang, industri Internet of Things (IoT), keselamatan
siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, rantaian
bekalan, analisis data dan automasi robot.”
-The Fourth Industrial Revolution oleh
Klaus Schwab, Pengasas Esekutif WEF (World Economic Forum)
PENGENALAN
Pada tahun 2020 dengan anggaran penduduk dunia
mencecah 7.6 bilion, perkembangan semasa teknologi meramalkan 50 bilion peranti
elektronik akan saling berinteraksi antara satu sama lain. Ini menunjukkan
jumlah peranti yang berkomunikasi adalah melebihi jumlah manusia dengan setiap
manusia memiliki kira-kira 6.58 peranti elektronik. Peranti yang saling
berhubungan ini menjana data raya dan pengetahuan. Kemunculan gelombang
teknologi baharu yang dikenali sebagai ‘The Fourth Industrial Revolution’ atau
Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan era ‘Digital
Economy’ atau Ekonomi Digital yang menyebabkan Kerajaan terus berusaha
dalam menjayakan Dasar Digital Malaysia.
SEJARAH
Revolusi Industri – istilah diperkenalkan oleh ahli
sejarah terkenal, Arnold Toynbee (1889-1975), adalah satu fenomena yang
dianggap lazim dalam masyarakat moden. Sejarah revolusi bermula pada 1800
(1760-1830), Industri 1.0 adalah mengenai kuasa wap untuk digunakan dalam
kilang-kilang. Ia bergantung lebih kepada kegunaan air ataupun wap yang
berupaya menggerakkan jentera berasaskan kuasa wap untuk kerja-kerja yang tidak
terdaya oleh kudrat manusia. Maka terciptalah steam engine yang turut
membawa perubahan besar kepada sistem pengangkutan selain jentera-jentera lain
yang berupaya pula meningkatkan aktiviti perindustrian.
Manakala Industri 2.0 pada tahun 1900 (sekitar
1870-1914) pula menggunakan kuasa elektrik. Perkembangan teknologi yang
melibatkan kuasa eletrik jelas membawa satu lagi lonjakan status hidup masyarakat
melalui pengilangan besar-besaran sepertimana pada hari ini. Revolusi
Industri 3.0 pada tahun 2000 menggunakan komputer dan
teknologi maklumat. Di peringkat akhir revolusi ketiga timbul pula
teknologi automasi, yakni satu keupayaan teknologi yang tidak perlu melibatkan
manusia secara langsung. Mesin dan jentera boleh bergerak serta bekerja dengan
sendiri apabila ia dimuatkan dengan program komputer tertentu bagi melakukan
sesuatu aktiviti terancang.
Pada tahun 2016 bermula Revolusi Industri Keempat
(Industri 4.0) adalah kesinambungan versi ketiga dalam peningkatan automasi
beserta rangkaian Internet dan proses-proses fizikal lain dan muncul pula satu
sistem berbentuk siber-fizikal. Industri 4.0 iaitu tentang penemuan pelbagai
teknologi baharu yang antara lain menggunakan automasi, analisis dan big
data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotic, cloud, Internet of Things
(IoT), dan perkara yang seumpamanya. Ia melibatkan teknologi automasi memberi
cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan mereka
melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital itu untuk kekal berdaya
saing dan merancakkan kemajuan landskap dunia moden.
Revolusi ini menandakan kemunculan sistem fizikal
siber melibatkan keupayaan baharu sepenuhnya bagi manusia, mesin dan kaedah
baharu teknologi. Dengan kata lain, teknologi automasi itu dilihat sebagai
keupayaan teknologi yang tidak perlu melibatkan manusia secara langsung.
Industri 4.0 juga dapat mengatasi masalah kebergantungan terhadap sumber tenaga
yang secara signifikan akan mengubah masa depan dunia pekerjaan.
Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) ini
berlaku melalui tiga ciri utama iaitu velocity atau
kelajuan, breadth and depth atau keluasan dan kedalaman
serta systems impact atau impak menyeluruh. Ini menyebabkan dunia
pada masa hadaapan akan dipenuhi dengan fenomena-fenomena baharu seperti
seperti autonomous car, quantum computing dan artificial
intelligence.
Klaus Schwab, menerusi bukunya The Fourth
Industrial Revolution menjelaskan Industri 4.0 mengubah cara kita bekerja dan
hidup. Perubahan ini dipacu tiga domain teknologi utama iaitu fizikal, digital
dan biologikal yang merentasi sembilan tonggak Industri 4.0 yang merangkumi
simulasi dan realiti maya, integrasi sistem menegak dan melintang,
industri Internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran
awan, pembuatan bahan tambahan, rantaian bekalan, analisis data raya dan robot
automasi.
RANGKA KERJA STRATEGIK
Rangka kerja strategik yang akan dilaksanakan oleh
Kementerian bagi menghadapi gelombang Revolusi Perindustrian Keempat (Industri
4.0) memandangkan ianya akan menambahkan jumlah pendapatan negara kepada RM2
trilion dalam tempoh 7 hingga 8 tahun akan datang. Industri 4.0 yang didorong
oleh revolusi digital atau internet melalui aplikasi sistem siber fizikal yang
bukan hanya tertumpu pada sektor pembuatan malah akan turut melibatkan sektor
perkhidmatan. Revolusi ini merupakan kesinambungan daripada revolusi
perindustrian ketiga yang berteraskan sistem elektronik dan teknologi maklumat.
Trend revolusi keempat bermula daripada negara-negara perindustrian maju dan
berteknologi tinggi seperti Jerman dan Amerika Syarikat yang kini berkembang
kepada negara-negara seperti China, Korea Selatan dan Singapura.
Pemangkin Industri 4.0 bagi sektor pembuatan secara
amnya adalah berteraskan kemajuan dalam bidang autonomous robots, big
data, augmented reality, cloud computing, internet of things, percetakan
3D, keselamatan siber, simulasi dan integrasi sistem digital. Malaysia sebagai
sebuah negara yang bergantung pada perdagangan perlu meningkatkan rantaian
nilai untuk menjadi pangkalan perkilangan berkualiti tinggi menerusi penggunaan
teknologi agar negara lebih berdaya saing di peringkat serantau dan global.
Industri 4.0 mendorong syarikat untuk menggunakan automasi dan pertukaran data
dalam teknologi pembuatan yang mewujudkan kilang pintar di mana mesin
disambungkan dengan internet dan kepada sistem yang boleh menggambarkan
keseluruhan rantaian pengeluaran.
INISIATIF BERHUBUNG INDUSTRI 4.0
Kerajaan telah mengadakan beberapa inisiatif
berhubung Industri 4.0 termasuk :
Pertama : mengisytiharkan tahun 2017 sebagai
tahun ekonomi internet Malaysia. Sumbangan ekonomi digital Malaysia kepada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah mencecah 17.8% pada 2015 dah hampir
merealisasikan sasaran 18.2% yang ditetapkan untuk tahun 2020. Sebanyak RM162
juta telah diperuntukkan di dalam Bajet 2017 bagi berbagai program seperti eko
sistem e-dagang, digital maker movement serta pengenalan kategori lokasi baharu
sebagai hub digital Malaysia.
Kedua : penubuhan digital free trade zone yang
pertama di dunia yang diterajui oleh MDEC yang menggabungkan zon fizikal dan
maya dengan penambahan perkhidmatan online dan digital bagi memudahkan e-dagang
antarabangsa dan merangsang inovasi berteraskan internet. Digital free trade
zone ini dilancarkan hari Rabu, 22 Mac 2017 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia
bersama kehadiran Jack Ma dari Ali Baba.com.
Ketiga : merangkan pelan hala tuju strategik
kebangsaan tentang internet of things yang diterajui oleh MIMOS.
Pelan ini diunjur menjana sejumlah RM9.5 bilion kepada pendapatan negara kasar
menjelang 2020 serta menyediakan 14,270 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Melalui pelbagai aktiviti promosi yang dijalankan oleh MITI, lebih banyak
syarikat pengeluar peralatan bagi penggunaan internet dan sensor dijangka
melabur di negara ini untuk mewujudkan ekosistem serba kondusif bagi industri
IOT.
PROGRAM OUT REACH
Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri
(MITI) dan agensi juga telah mengadakan program out reach kepada
pihak-pihak yang berkepentingan di dalam Industri 4.0. Antaranya:
• Persidangan
pembangunan dan peluang rantaian bekalan antara syarikat multinasional dan
pengusaha kecil dan sederhana pada 15 Disember 2016.
• Seminar
pengeluaran pintar dan teknologi automasi pada 12 Januari 2017 oleh MIDA.
• Seminar
berhubung peluang perniagaan dan pengeluaran pintar pada 21 Februari 2017 juga
oleh MIDA
• Bekerjasama
dengan institusi pendidikan dan teknikal serta industri bagi pembangunan bakat
dan bidang teknologi baru, digital dan kejuruteraan bagi menyediakan graduan
tersedia untuk pasaran kerja dalam pengeluaran pintar. Sebagai contoh Malaysia memerlukan 2
ribu saintis data, data scientist menjelang 2020 ; dan
• Memberi
tumpuan kepada PKS bagi menerima pakai proses pengeluaran pintar. Ianya penting
untuk membangunkan PKS yang berdaya tahan dan mampan ke arah mencapai
pertumbuhan inklusif dan seimbang.
MITI dalam merangka polisi nasional dan pelan
tindakan menyeluruh bagi Industri 4.0 dengan kerjasama kementerian dan agensi
yang berkaitan bagi memanfaatkan sumber sedia ada. Polisi nasional berkenaan
dijangka akan diumumkan pada akhir tahun 2017 dan diharapkan ia menjadi salah
satu pemangkin untuk memastikan jumlah pendapatan negara mencapai RM2 trilion
dalam tempoh 7 hingga 8 tahun akan datang.
Kita harus bertindak dengan cara komprehensif,
melibatkan semua pihak seluruh dunia, dari sektor awam dan swasta kepada akademik
serta masyarakat keseluruhannya. Pada Revolusi Perindustrian Keempat (Industri
4.0) ini, ramai pakar melihat tugas hakiki manusia akan digantikan oleh tenaga
robotik, jutaan manusia hilang kerja terutamanya di sektor pengilangan. Justeru
itu, semua pihak perlu bersedia dengan reskill supaya pekerja-pekerja
ini terus memberi sumbangan. Berdasarkan sejarah, Malaysia dan negara-negara
Asean sebelum ini bersandarkan kepada pekerja berkemahiran rendah dan murah
sebagai tarikan pasaran mereka. Menyebabkan Asean terdedah kepada pengangguran
jika segalanya bertukar kepada automatik pada revolusi perindustrian keempat.
UPGRADING AND UP
SKILLING TENAGA-TENAGA KERJA
Program-program yang dirancangkan untuk
meningkatkan lagi atau upgrading and up skilling tenaga-tenaga
kerja sekarang dalam jangka pendek ini. Langkah-langkah dari segi penyediaan
graduan untuk ke arah menyediakan tengaa kerja dalam masa jangka pendek.
Usaha-usaha yang dilaksanakan secara blue ocean dengan Kementerian
Pengajian Tinggi dan juga Kementerian Pendidikan juga Kementerian Sumber
Manusia untuk memastikan berlaku penyelarasan terhadap keperluan ini. Antaranya
melahirkan data scientist agar kita akan ketinggalan dari segi
Industri 4.0 ini.
PRESTASI KEJAYAAN
Prestasi ini boleh diukur dengan kejayaan-kejayaan
yang wujud dalam negara kita. Pelaburan pihak-pihak syarikat di luar menganggap
Malaysia sebagai salah satu pusat, ada angka dan kajian mengatakan yang terbaik
dalam dunia dari segi pelaburan. Malaysia menyediakan segala prasarana yang
mencukupi, prasarana moden yang mencukupi dari segi sistem jalan raya dan juga
misalnya national broadband penetration rate yang dikeluarkan data
oleh KKMM pada Jun 2016 ialah 77.3%. Ini juga menunjukkan bagaimana prestasi
persiapan kita untuk menghadapi Industri 4.0.
Untuk memudahkan memahami apakah maksud Industri
4.0 ini. Dalam bahasa yang mudah ia dipanggil sebagai smart
factory atau kilang pintar. Bagi mewujudkan kilang pintar, kita perlu ada
bangunan pintar, kita perlu ada logistik pintar, kita perlu ada pejabat pintar
dan tentunya kita perlu ada modal insan yang pintar untuk ke arah itu.
KILANG PINTAR (SMART FACTORY)
Kilang-kilang boleh menjadi lebih pintar menerusi
aplikasi alat yang digunakan bagi inisiatif Industri 4.0 dan Internet of
Things (IOT). Kilang-kilang pintar akan meningkatkan produktiviti
kakitangan, menambahbaik pengurusan tenaga, menganalisa prediktif penyelenggaraan,
melaksanakan semakan inventori, mengkaji untuk meminimakan masa ketergendalaan
dan melaksanakan integrated remote operation. Fenomena IOT ini merupakan
gelombang internet seterusnya yang berpotensi untuk memberi kesan positif
kepada hampir setiap industri daripada pertanian kepada penjagaan kesihatan,
serta melibatkan komuniti perniagaan dan masyarakat umum.
Kilang-kilang pintar akan menjadi lebih responsive
terhadap permintaan pengguna dan beroperasi dalam keadaan yang lebih kos
berkesan dengan memanfaatkan pemusatan teknologi seperti big data analysis,
cloud solutions, embedded system, mobiliti dan kesalinghubungan rangkaian.
Sedang industri mencapai kemajuan dalam membangunkan dan memanfaatkan
perkilangan pintar, beberapa cabaran yang melibatkan peraturan/pematuhan,
kesediaan infrastruktur dan keperluan keselamatan siber perlu ditangani untuk
memudahkan pemerolehan kompetensi, kapasiti dan peluang pasaran baharu di
kalangan pemain industri di Malaysia agar kadar pertumbuhan yang lebih tinggi
dalam IOT dapat dicapai.
MENUJU TN50
Menjengah masa depan, ke arah Revolusi
Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital Menuju TN50, dunia kini berada dalam
transisi, yang bakal menyaksikan massive structural change dan
membawa bersamanya teknologi yang
bersifat disruptif dan breakthrough; Daripada robotik
dan artificial intelligence kepada teknologi nano; daripada
the Internet of Things kepada analitik kesihatan, yang membawa
satu quantum leap kepada kehidupan kita. Ketika itu, negara bakal
menikmati kebestarian kehidupan, merangkumi pelbagai bidang seperti smart
energy, smart mobility, smart healthcare, smart infrastructure, smart
governance and smart citizens.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata
Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan menyediakan rakyat untuk
berhadapan dengan Revolusi Perindustrian Keempat. Beliau berkata Revolusi
Perindustrian Keempat telah menggugat model lama perniagaan, terutama dalam
kalangan masyarakat yang berurusan tanpa wang dan tanpa kad. Sambil memberikan
contoh di China, beliau berkata seseorang itu boleh menggunakan telefon pintar
untuk membeli apa sahaja dengan lebih mudah dan selesa sama ada di bazar atau
secara dalam talian seperti Amazon. Beliau menggambarkan inilah gaya hidup
yang akan diamalkan di Malaysia pada masa depan. Inilah perubahan yang akan
menimbulkan gangguan yang kita harus pastikan rakyat bersedia menghadapinya.
PERKHIDMATAN AWAM
Kesemuanya ini menuntut keupayaan perkhidmatan awam
dalam memberi respon segera kepada pelbagai teknologi yang mengkacauganggu,
atau bersifat disruptif ini dan bersedia dengan pendekatan yang lebih
segar lagi multi-dimensional serta
kombinasi top-down dan bottom-up, inside-out serta outside-in,
khususnya dalam penggubalan dasar, regulasi baharu yang merangkumi hak dan
privasi pelanggan, keselamatan, pendidikan, ekonomi serta teknologi pintar.
SISTEM PENDIDIKAN TINGGI
Mendepani cabaran Industri 4.0 atau Revolusi
Perindustrian Keempat, pelajar di universiti mesti keluar daripada kebiasaan.
Forum Ekonomi Dunia (WEF) menggariskan pentingnya penguasaan elemen 4C
iaitu Critical Thinking & Problem Solving, Communication, Collaboration dan Creativity
pada semua peringkat pengajian, termasuk di menara gading. Jika di sekolah
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menjadi nadi, pelajar di universiti
hendaklah berkemahiran 4C mesti diasah setiap penjuru kehidupan, di kolej
kediaman, dewan kuliah, merentasi aktiviti kesukarelawanan dan keusahawanan dan
juga di padang sukan.
Sebagai persiapan menghadapi cabaran Industri 4.0,
pelajar di universiti perlu mempertimbangkan tindakan berikut.
· Tajamkan
kemahiran penyelesaian masalah kompleks
Sembilan teras Industri 4.0 boleh dirumuskan dengan
satu perkataan, iaitu kompleks. Apakah itu masalah yang kompleks? Masalah yang
kompleks diukur menerusi kelebaran julat konflik yang terlibat, kedalaman
analisis dan pengetahuan diperlukan, keterlibatan isu yang unik, keperluan
mematuhi piawaian ditetapkan, kehendak pengguna dan pemegang taruh pelbagai,
impak penyelesaian terhadap pelbagai aspek seperti ekonomi, persekitaran,
sosial, politik, etika, kesihatan dan kelestarian. Justeru itu, jelaslah siswa
tidak lagi terikat dengan bidang pengajian dan peperiksaan semata-mata.
Kebolehlenturan kognitif amat diperlukan agar masalah kompleks ditangani secara
agresif dan holistik.
· Kemaskan
kemahiran komunikasi lisan, bertulis
Dengan IoT sebagai nadi, keupayaan berkomunikasi
dengan efisyen secara lisan dan bertulis adalah kritikal. Suatu masa dahulu,
mesyuarat bersemuka, tetapi hari ini diskusi kita di mana-mana. Banyak konflik
akibat komunikasi, andai aspek bahasa dan seni komunikasi tidak diteliti.
Dengan salah faham, terencatlah kerja berpasukan, kepemimpinan dan proses
penyelesaian masalah. Maka, menjunamlah produktiviti organisasi, soal kualiti
dan kuantiti. Selain teknologi, ketidakupayaan berkomunikasi dengan berkesan
menggunakan bahasa Inggeris tidak lagi boleh dijadikan sempadan. Dengan lebih
banyak kompetensi bahasa dimiliki, pelajar akan berdiri megah di arena
globalisasi.
· Kukuhkan
diri sebagai pemimpin dan ahli pasukan
Penyelesaian masalah kompleks merentasi disiplin
secara tuntas memerlukan kerjasama berpasukan cemerlang, sebagai ketua dan ahli
pasukan yang berkesan. Selain pengetahuan teknikal, karisma dan kepemimpinan
berinovasi adalah resipi kejayaan kerja berpasukan. Memimpin dan menjadi ahli
pasukan yang baik memerlukan ilmu dan kemahiran. Di universiti, pelbagai
peluang ditawarkan misalnya menerusi projek berkumpulan, selain kegiatan di
kolej kediaman dan badan beruniform yang semuanya adalah peluang seluas lautan.
· Kayakan
diri dengan kepintaran emosi
Untuk Industri 4.0, bijak sahaja tidak memadai.
Pekerja cemerlang bukan sahaja perlu mahir tindakannya dan penuh hikmah
penuturannya, malah perlu pintar emosinya. Kepintaran emosi adalah keupayaan
mengenalpasti dan mengurus emosi diri dan pihak lain dengan tiga teraju utama
iaitu kesedaran, jaringan dan kawalan emosi. Kepintaran emosi kunci kejayaan
hubungan sosial dan profesional. Bertegas tidak semestinya bermaksud seorang
ketua perlu membaling fail, tidaklah juga bermaksud seorang ketua sunyi
kata-kata apabila anak buah bermasalah.
· Manfaatkan
semua peluang, sentiasa kreatif
Peluang pada era Industri 4.0 adalah umpama emas
yang bertaburan di jalanan, hanya menunggu siapa yang datang mengutipnya.
Dengan Industri 4.0 menekankan misalnya aspek pembuatan pintar maka sumber
manusia yang bakal mengisinya mestilah bijak merebut peluang, kreatif dan
berinovatif dalam mengemukakan cadangan dan berani ambil risiko.
Ketua Pakar Pendidikan Tinggi Bank Dunia, Francisco
Marmolejo dalam Seminar Revolusi Industri 4.0 berkata, sistem pendidikan tinggi
di seluruh negara juga akan mengalami perubahan hasil revolusi Industri 4.0.
Malaysia memerlukan institut pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan sedia
mengharungi cabaran baharu itu agar mana-mana golongan masyarakat tidak
terpinggir dalam era globalisasi dan digital. Pengetahuan yang ada pada kita
hari ini hanya menyumbang satu peratus sahaja menjelang 30 tahun akan datang
dan ketika itu pasaran kerja akan dipenuhi dengan individu atau tenaga kerja
berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis.
Dalam seminar itu, Marmolejo turut memuji Malaysia
selaku negara pertama merangka elemen cabaran Industri 4.0 dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025. Selain menyifatkan
inisiatif Malaysia sebagai satu langkah ke hadapan, beliau menyifatkan pelan
pembangunan pendidikan tinggi yang merangkumi 10 lonjakan itu sebagai rangka
kerja naratif sangat baik bukan sahaja untuk masa depan tetapi hari ini.
MANFAAT KEPADA SEKTOR KOMODITI
Industri 4.0 adalah peluang untuk Malaysia
membangunkan industri perladangan dan komoditi seperti minyak sawit, getah,
kayu, koko atau lada. Sebenarnya, ia boleh digunakan secara meluas dan lebih
daripada jangkaan kita. Sebagai contoh, minyak sawit dengan penderiaan yang
digunakan bersama sistem melalui rangkaian komunikasi komputer, kita boleh
mengesan produktiviti setiap pokok, bukan setakat setiap plot atau sebuah
estet. Selain itu, ia boleh mengetahui tahap tekanan bagi setiap pohon sawit
yang disebabkan cuaca kering atau hujan yang berpanjangan serta tindakan
diperlukan seperti pengairan, pembajaan dan penggunaan racun perosak. Ini akan
memberi kesan langsung kepada hasil buah tandan segar (FFB).
Apabila
merujuk kepada penuaian dan pemindahan, dengan mempunyai mesin bersepadu yang
boleh mengenal pasti secara tepat FFB yang sempurna masak, memotongnya daripada
pohon sawit, mengumpul semua tandan tanpa buah gugur dan terus dihantar ke
kilang secara autonomi. Ini akan meningkatkan hasil minyak secara dramatik
dengan FFB yang sempurna masak tanpa lebam kerana tidak melalui banyak
pengendalian serta kurang kehilangan buah tergugur. Pengurusan ladang yang
dijalankan dari pusat kawalan dengan kurang pembabitan manusia secara langsung.
Melalui permintaan semakin meningkat untuk
kebolehkesanan, penggunaan Industri 4.0 mungkin dapat membantu pengguna
menentukan keaslian minyak sawit yang terkandung dalam sesuatu produk dengan
menggunakan pengenalan melalui frekuensi radio (RFID) atau kod visual bagi
mengetahui sama ada ramuannya dihasilkan secara mampan. Ia agak realistik untuk
melihat penggunaan Industri 4.0 dalam proses pemerahan, penapisan dan oleokimia
serta pengangkutan yang akan meningkatkan produktiviti, keselamatan serta
kualiti.
Selain itu, Industri 4.0 juga boleh meringankan
cabaran produktiviti dalam industri huluan dan hiliran getah. Sistem Penorehan
Getah Automatik (ARTS) yang sedang menjalani percubaan sudah menunjukkan
penetapan masa untuk penorehan, pengumpulan dan penggumpalan lateks serta
penggunaan perangsang boleh dimekanisasikan, manakala pengumpulan dan
penelitian data untuk setiap gram, toreh dan pokok (GTT) boleh membantu
mengenal pasti tindakan diperlukan untuk meningkatkan hasil.
Pada masa sama, permintaan terhadap tenaga kerja
asing boleh dikurangkan dengan automasi besar-besaran dalam pengeluaran sarung
tangan getah, seperti dilakukan salah sebuah pengilang getah terkemuka negara,
Hartalega. Automasi ini digunakan dengan jumlah tenaga kerja bagi setiap juta
keping pada 2.6 di Pusat Generasi Baharu (NGC) di Sepang, berbanding beberapa
kali ganda di kilangnya yang lain yang sedang ditingkatkan keupayaannya. Ini
bermakna, terdapat lebih peningkatan produktiviti boleh dicapai dengan penggunaan
IoT yang lebih hebat.
· Memudahkan
kerja
Penggunaan sistem penderiaan, komputer dan
komunikasi pada kenderaan, dron dan jentera lain boleh dicapai sepenuhnya hari
ini. Selain itu, penggunaan Sistem Pengesanan Global (GPS) dan rangkaian mudah
alih dengan penghantaran data dan analisis data besar sudah menjadi perkara
biasa. Sememangnya penggunaan jentera dan sistem sedemikian untuk tanaman
tahunan yang ditanam di dataran jauh lebih mudah berbanding melakukan perkara
sama untuk tanaman di kawasan lebih beralun seperti kelapa sawit dan getah.
Namun, dengan fokus, kolaborasi dan peruntukan sumber yang tepat, ini tidak
mustahil.
· Cabaran
tentukan perubahan
Kenyataannya, cabaran yang kita hadapi hari ini
sudah memaksa kita untuk bertindak. Kekurangan tenaga kerja mengakibatkan
kehilangan FFB dan hasil pengeluaran minyak. Potensi hasil sudah pun mendatar
sementara kita bekerja mencari klon baharu melalui penyelidikan genomik yang
dapat menyelesaikan masalah itu. Ditambah dengan tanah yang terhad untuk
penanaman baharu dan keperluan mengekalkan perlindungan hutan selaras dengan
janji COP 21 kita, satu-satunya pilihan kita adalah dengan meningkatkan
produktiviti.
Sebagai permulaan, kita sangat memerlukan peralatan
kejuruteraan untuk penuaian, pengumpulan buah dan pemindahan yang tidak
terlampau canggih. Kedua-dua jenis ciptaan brownfield dan greenfield sedang
dipertimbangkan melalui platform seperti Pertandingan Antarabangsa Kejuruteraan
Sawit (ICOPM). Ini akan bertindak sebagai jambatan kepada Industri 4.0 pada
masa hadapan. Sebagai sektor yang menyumbang 10 peratus daripada Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK), kita mempunyai tanggungjawab memastikan kepentingan dan
kemampanannya tidak berkurangan.
BAJET 2018
Kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi ekonomi
termaju berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan nilaian ekonomi dan dagangan
semasa berkembang RM2 trilion pada 2025 dan menikmati impak manfaat Revolusi
Perindustrian Keempat (Industri 4.0) secara ketara menjelang 2030. Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan berusaha melaksanakan Dasar
Digital Malaysia sejajar hala tuju dunia di ambang Industri 4.0 dan era ekonomi
digital. Justeru itu sebagai menyokong aktiviti pelaburan dan perniagaan
Industri 4.0, kerajaan akan menyediakan geran sepadan sebanyak RM245 juta di
bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi menaik taraf kemudahan pengilangan
pintar.
Futurise Centre di Cyberjaya juga akan
diperkukuhkan sebagai pusat sehenti syarikat korporat dan universiti, untuk
membangunkan prototaip produk serta melonjakkan daya inovasi. Kerajaan
akan memberi galakan cukai seperti berikut iaitu;
Pertama - melanjutkan tempoh insentif Elaun
Modal Dipercepatkan sebanyak 200
peratus ke atas
kelengkapan automasi dari tahun taksiran 2018 sehingga 2020.
Kedua - Galakan Elaun Modal Dipercepatkan
sebanyak 200 peratus untuk sektor pengilangan dan perkhidmatan berkaitan
pengilangan; dan
Ketiga - Elaun Modal bagi peralatan ICT
termasuk perbelanjaan pembangunan perisian komputer layak dituntut sepenuhnya
mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020
Selaras dengan Industri 4.0, kerajaan turut
mengumumkan geran RM5,000 untuk setiap pemandu teksi bagi membeli kereta
baharu. Insentif yang membuktikan kerajaan mendengar rakyat, katanya, adalah
untuk semua pemandu teksi berdaftar sedia ada yang berhasrat bertukar ke
penggunaan aplikasi e-hailing.
PROGRAM
PEMBANGUNAN INDUSTRI 4.0 MAI-MIDF
Institut
Automotif Malaysia (MAI) dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd.
(MIDF) melancarkan Program Pembangunan Industri 4.0 MAI-MIDF bertujuan memacu
pertumbuhan keseluruhan rantaian bekalan automotif. Ini termasuk dalam
bidang pengilang komponen, pembekal bahan-bahan serta rangkaian penjualan dan
pengedaran. Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari berkata, kerjasama
unik itu akan menggabungkan program pembangunan kapasiti pihaknya dengan
kebolehan pembiayaan oleh MIDF untuk menawarkan satu program yang
komprehensif. Kerjasama strategik ini adalah penting untuk
menyokong komuniti automotif tempatan.